mutakhir

Lepaskan anjing untuk takutkan penguatkuasa

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

MENGGUNAKAN taktik melepaskan enam ekor anjing bagi menakutkan pihak berkuasa. Itu antara modus operandi dilakukan dua beranak yang tidak berpuas hati apabila kediaman yang dijadikan tempat proses gas petroleum cecair (LPG) secara haram diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di Taman Seri Serdang, petang tadi.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya terpaksa meminta bantuan polis bagi membolehkan mereka menjalankan tugas.

“Kami menerima aduan daripada penduduk sekitar memaklumkan aktiviti mencurigakan apabila sering terlihat lori dengan muatan tong gas memasuki rumah teres berkenaan.

“Selepas melakukan risikan selama dua minggu, satu serbuan dilakukan KPDNHEP cawangan Kajang ke atas rumah teres berkenaan yang didiami dua beranak berusia 20-an serta 50-an itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan 4 petang di rumah teres satu tingkat itu menemui sebanyak 132 tong gas LPG bersubsidi bernilai RM13,992 disimpan di perkarangan rumah berkenaan.

“Mereka juga didapati menjalankan operasi penjualan tong gas LPG tidak mengikut isipadu seperti ditetapkan kerajaan sejak tahun lalu.

“Modus operandi dua beranak terbabit ialah mengurangkan isipadu gas LPG daripada tong gas yang diambil dari pengedar dan dipindahkan ke tong gas kosong sebelum ia dijual kepada pengguna dengan harga pasaran semasa.

“Kesemua tong gas yang dikurangkan isipadu akan dijual di kedai-kedai serta pengusaha restoran di sekitar Kajang dan Serdang,” katanya.

Selain menyimpan tong gas, kedua-dua lelaki berkenaan juga didapati tidak memiliki lesen sah untuk menyimpan tong gas LPG yang juga barangan kawalan.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, kedua-dua mereka boleh didenda sebanyak RM1 juta atau dipenjara selama tiga tahun,” katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 10:15pm
d