mutakhir

Dua unit pangsapuri digempur polis

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS menumpaskan sindiket judi dalam talian selepas menggempur dua unit pangsapuri di Seremban 2 yang dijadikan pusat panggilan semalam.

Serbuan 8 malam itu dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, hasil serbuan dua lelaki dan empat wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 38 tahun ditahan.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket perjudian itu memulakan operasi dua bulan lalu.

“Premis berkenaan disyaki dijadikan pusat mempromosi aktiviti perjudian melalui penghantaran mesej menerusi SMS, aplikasi WhatsApp dan WeChat.

“Antara permainan judi ditawarkan adalah ‘Roullete’, ‘Baccarat’ dan ‘Slot Games’.

“Premis itu juga dijadikan tempat menguruskan transaksi wang oleh pemain judi dalam talian dan beroperasi 24 jam setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, hasil serbuan dilakukan polis merampas komputer, komputer riba, telefon pintar, penyata kira-kira dan senarai nombor akaun.

Katanya, semua suspek yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, pihaknya merekodkan 383 kes judi ekor tanpa lesen dan 29 kes judi dalam talian bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 10:55pm
d