mutakhir

'Rindu menantuku'

Oleh Hasbi Sidek

KAJANG: Hanya kerana rindu, seorang lelaki sanggup menunda sesi dialisisnya kerana tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan bekas menantunya yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, di sini.

Lebih mengharukan, Dollah, 56, (bukan nama sebenar) terpaksa menempuh perjalanan jauh dari Jerantut, Pahang meskipun anak perempuannya sudah berpisah dengan lelaki itu sejak tahun lalu.

Dollah berkata, sebaik mendapat berita keluarga dibenarkan untuk melawat banduan terpilih di penjara itu, dia tidak sabar untuk bertemu dan memeluk bekas menantunya berusia 34 tahun itu.

“Selepas tiga tahun tidak bertemu dan anak perempuan saya juga sudah memilih haluan hidup sendiri, hari ini (semalam) saya sangat bersyukur kerana dapat memeluk dan berbual-bual dengan dia.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak penjara. Jika diikutkan saya perlu menjalani dialisis, hari ini (semalam) namun menundanya kerana tidak mahu melepaskan peluang bertemu bekas menantu yang dianggap seperti anak sendiri.

“Sebelum ini hampir setiap minggu saya menunggu panggilan telefon daripada bekas menantu dan saya menasihatkan dia supaya mematuhi arahan pihak penjara dan menjaga disiplin,” katanya sambil mengesat air mata dalam Program Jalinan Kasih Aidilfitri di Penjara Kajang, di sini, semalam.

Sementara itu, lelaki dikenali sebagai Mat (bukan nama sebenar) yang menghuni Penjara Kajang sejak 2007 berkata, banyak pengalaman dipelajari ketika menjalani hukuman sekali gus mahu menjadi insan yang lebih baik.

“Selepas menjalani hukuman penjara selama enam tahun, kini baki hukuman tinggal dua tahun lagi. Saya dipenjarakan kerana kesalahan rogol bawah umur,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Penjara Kajang, Timbalan Komisioner Penjara Abdul Halim Mahassan berkata, sebelum ini banduan hanya dibenarkan berhubung dengan keluarga melalui panggilan telefon atau interkom jika melawat ke penjara.

“Hari ini (semalam) mereka berpeluang bertemu secara fizikal dan dapat berpelukan. Saat yang paling mengharukan kerana saya sendiri tidak dapat menahan sebak apabila melihat bapa dapat bertemu anak, suami bertemu isteri, anak memohon ampun daripada ibu.

“Tujuan program seperti ini adalah untuk memberi semangat kepada banduan bahawa mereka masih diperlukan, dihargai dan masih mempunyai harapan baik bila dibebaskan kelak,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 6:01am
d