mutakhir

Panik tengok kawan rebah

Oleh Mary Victoria Dass

“SAYA dan beberapa rakan tiba-tiba rasa loya akibat terhidu bau pelik, tidak lama kemudian kami tidak dapat tahan dan terus muntah,” kata murid Sekolah Agama Taman Mawar, di Pasir Gudang, Ananurzawanah Abdul Wahid, 9, yang masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), hari ini.

Ananurzawanah berkata, bertambah panik apabila melihat beberapa rakannya rebah mengakibatkan guru sekolah membawa mereka ke sebuah bilik untuk berehat.

Menurutnya, guru wanita sekolah berkenaan memandikan dia dan rakan-rakan yang mengalami simptom sama.

“Ini adalah kali kedua saya hadapi masalah ini, kali pertama ketika pencemaran Sungai Kim Kim yang mana saya berasa loya dan hampir sesak nafas, namun ketika itu tidak dimasukkan ke wad.

“Sekarang saya berasa sihat dan tidak sabar mahu ke sekolah,” katanya.

Ibu Ananurzawanah, Masni Salawati Nazar, 39, berkata, dia menyedari kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu ketika ke sekolah berkenaan untuk membawa anaknya pulang ke rumah.

Bagaimanapun, dia bersyukur dengan tindakan pantas guru yang memandikan dan membersihkan anaknya serta murid lain berdasarkan pengalaman akibat pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lalu.

“Ketika itu, Ananurzawanah terpaksa menggunakan bekalan oksigen yang disediakan dalam ambulans dari sekolah hingga tiba ke HSI. Ananurzawanah menyatakan dia muntah namun tidak pengsan, tetapi beberapa rakannya rebah di depan mata.

“Alhamdullilah keadaannya stabil dan sudah dibenarkan pulang dan kami kini bersiap untuk membawanya pulang ke rumah.

“Dia juga tidak trauma dengan kejadian menimpanya namun sebagai ibu, saya berharap pihak berkuasa memantau kes ini dan mengambil tindakan sesuai,” katanya ketika ditemui di HSI di sini, hari ini.

Ananurzawanah bersama enam rakannya yang dimasukkan ke wad menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi.

Sementara itu, Tosrin berkata, pihaknya difahamkan seramai enam mangsa yang dimasukkan ke wad akan dibenarkan keluar hari ini atau dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan semua mangsa dalam keadaan stabil dan boleh berkomunikasi dan boleh bergerak dengan baik.

“Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) menyerahkan sumbangan RM400 kepada setiap mangsa yang dimasukkan ke wad manakala mangsa lain yang turut terjejas akan menerima sumbangan RM200 menerusi kunjungan ke rumah mereka dalam tempoh terdekat.

“Saya berasakan sekiranya keadaan kualiti udara baik, tiada keperluan untuk menutup sekolah namun kami akan mendapatkan maklumat daripada Exco berkaitan bagi memastikan keadaan selamat atau tidak dari masa ke semasa.

“Kesihatan dan keselamatan murid, kakitangan dan orang ramai adalah keutamaan kami,” katanya.

Enam murid perempuan Sekolah Agama Taman Mawar di sini, ditahan di wad biasa HSI, adalah antara 15 mangsa termasuk dua dewasa yang mengalami sesak nafas dan muntah-muntah akibat kejadian semalam.

Kesemua 13 murid sekolah berusia antara sembilan hingga 10 tahun.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 2:45pm
d