mutakhir

Rai anak sindrom down

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SERAMAI 40 kanak-kanak sindrom down dan keluarga diraikan dalam majlis sambutan Aidilfitri, semalam.

Dianjurkan Kolej Islam Antarabangsa (IIC), anak syarikat milik penuh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Persatuan Generasi Sejahtera (i-Sejahtera), ia adalah inisiatif untuk menyantuni komuniti berkenaan supaya dapat meraikan hari raya seperti umat Islam lain.

Ketua Eksekutif IIC Shamsul Kahar Haron berkata, peluang itu membolehkan pihaknya lebih mengenali anak istimewa berkenaan yang jelas teruja dengan kemeriahan Aidilfitri dalam majlis dihadiri hampir 1,000 tetamu.

"Kami di IIC akan terus bersama dalam program tanggungjawab sosial korporat seperti ini. Menerusi kerjasama pertubuhan seperti i-Sejahtera banyak peranan boleh dimainkan untuk membantu anggota masyarakat dan mereka yang memerlukan," katanya.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu, Mahfuz berkata inisiatif berkenaan membuktikan tiada golongan yang terpinggir terutama dalam kegembiraan menyambut hari raya sesuai dengan tuntutan agama.

Katanya, masyarakat seharusnya memberikan perhatian kepada golongan terbabit dan menyayangi mereka seadanya.

"Semangat ditunjukkan golongan istimewa ini seharusnya dijadikan pembakar semangat kepada penuntut IIC dan aktivis sukarelawan," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 2:50pm
d