mutakhir

Nak cepat tuan!

Oleh Hasbi Sidek

SUDAH terlambat dan mahu cepat. Itu antara alasan popular pemandu yang tidak sabar dengan ‘memotong Q’ menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya ketika operasi di Lebuhraya Connaught menghala pusat bandar, dekat Cheras, semalam.

Operasi bermula 7.30 pagi itu menyaksikan 18 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur terhadap pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya mendapat aduan berlaku kejadian memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan di sebelah kiri lebuh raya.

“Operasi bermula 7.30 pagi ketika waktu puncak yang mana orang ramai keluar ke tempat kerja. Lima petugas menyertai operasi diketuai Asisten Superintendan, Leonard Lawrence Abbie.

“Dalam operasi ini, kami mengeluarkan 18 saman kepada pesalah kerana didapati melanggar peraturan memotong barisan, selain satu saman kerana didapati lesen memandu tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang menggunakan lorong kecemasan untuk mengelak kesesakan lalu lintas mengundang peningkatan kadar kemalangan di lebuh raya.

“Kesalahan menggunakan lorong kecemasan dilihat sebagai penyumbang utama kemalangan dalam Op Selamat 15, baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut mengadakan Op Laluan Waktu Terhad bagi kenderaan berat di Jalan Dewan Bahasa-Jalan Istana bermula 7 pagi hingga 9 pagi semalam sebelum mengeluarkan 11 saman terhadap pemandu lori.

“Sebanyak lima saman dikeluarkan kerana tiada lesen memandu yang sah mengikut kelas, tiga saman kerana gagal mengemukakan lesen memandu, dua saman kerana melanggar peraturan waktu terhad dan satu saman kerana lesen tamat tempoh,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 4:51pm
d