mutakhir

Penguatkuasa ditanduk lembu jalanan

Oleh Norizuan Shamsuddin

ANGGOTA penguatkuasa Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) cedera apabila ditanduk lembu ketika operasi menangkap haiwan berkenaan yang berkeliaran di daerah itu, hari ini.

MDHS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, susulan kejadian pada 1 pagi itu mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan doktor, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan dibenarkan pulang ke rumah pagi tadi,” katanya.

MDHS turut menjelaskan, pihaknya giat menjalankan operasi menangkap lembu berkeliaran di daerah berkenaan.

Katanya, tindakan itu diambil susulan aduan orang awam berhubung kewujudan sekumpulan lembu sering berkeliaran dan boleh membahayakan orang ramai yang menggunakan jalan utama terutama di Kawasan Perindustrian Zurah, Rasa.

“Beberapa lokasi sudah dikenal pasti dan pihak MDHS juga tidak teragak-agak mengambil tindakan menangkap lembu dan mengenakan denda kepada pemiliknya.

“Setakat ini, tiga operasi sudah dijalankan dan yang terbaru, kami berjaya menangkap empat lembu membabitkan dua jantan dan dua lembu betina.

“Operasi dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi luar antaranya Jabatan Veterinar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kontraktor dilantik MDHS.

“Tindakan diambil menggunakan peruntukan Seksyen 4(1)(a), Enakmen Mengawal Lembu Kerbau Negeri Selangor 1971,” katanya.

Katanya, semua haiwan terbabit dibawa ke stor tahanan MDHS untuk tindakan selanjutnya selama 14 hari.

Menurutnya, sebarang tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh berkenaan melalui permohonan bertulis kepada MDHS, mengemukakan surat pengesahan pemilikan daripada Jabatan Veterinar atau membuat akuan bersumpah dan menjelaskan kos ditetapkan.

“Sekiranya tiada tuntutan diterima daripada mana-mana pihak, MDHS akan melupuskan semua lembu itu melalui proses lelongan awam sebaik saja tempoh tahanan tamat,” katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 6:14pm
d