mutakhir

Polis kesan premis jual arak beracun

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS melakukan pemeriksaan di 25 premis menjual minuman keras di sekitar Port Dickson, hari ini, bagi mengesan penjualan minuman keras yang disyaki mengandungi bahan kimia beracun disyaki metanol.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, operasi bermula 4 petang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Beliau berkata, seramai 51 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi selama lebih dua jam itu.

“Operasi dilakukan bertujuan mengesan peniaga yang masih menjual minuman keras berjenama ‘muledeer’ dan ‘martin’ dipercayai mengandungi kandungan metanol yang tinggi dan membahayakan kesihatan.

“Berdasarkan semakan, tin minuman keras itu diimport dari luar negara tetapi kita tidak menolak kemungkinan tin minuman itu dikitar dan kandungannya diproses semula berdasarkan kandungan metanol yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas operasi di sekitar Lukut di Port Dickson, hari ini.

Selain itu, Aidi Sham berkata, hasil keterangan tiga suspek yang ditahan sebelum ini mendakwa minuman keras itu dibeli daripada seorang lelaki berusia 40-an dengan harga yang murah.

“Polis kini sedang giat mengesan lelaki itu bagi membantu siasatan dan mengenal pasti dari mana minuman keras itu diperoleh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiga mangsa masih menerima rawatan di Hospital Port Dickson (HPD) dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

“Dua mangsa masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) HPD dan HTAN, manakala seorang lagi mangsa yang dirawat di HPD kini stabil,” katanya.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan tiga suspek yang ditahan polis selepas disyaki menjual minuman keras beracun direman empat hari bagi membantu siasatan.

Suspek iaitu seorang wanita berusia 50 tahun dan anak lelakinya berusia 19 tahun serta seorang wanita berusia 56 tahun direman hari ini sehingga Isnin.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 8:08pm
d