mutakhir

Kali kedua anak jadi mangsa

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

“SAYA panik bila dapat panggilan telefon mengatakan anak pening kepala akibat terhidu bau busuk, masih terbayang insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lalu,” kata Aidi Rafizul Idrus, 44.

Aidi Rafizul adalah bapa kepada seorang daripada murid yang loya dan pening akibat pencemaran bau di Pasir Gudang semalam dan gambarnya dipaparkan di muka depan Harian Metro, hari ini.

Bapa kepada Alysha Qistina, 10, berkata, kali ini apa dialami anaknya lebih serius kerana turut lemah dan rebah beberapa kali sebelum dibawa ke hospital.

“Bila saya tiba di sekolah, guru memberi bantuan kepada anak dan ketika dipapah, dia beberapa kali rebah. Dia kemudiannya dibawa ambulans ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, kira-kira 5 petang.

“Di hospital, anak saya ditempatkan di Zon Kuning untuk diberi rawatan termasuk mengambil darah dan mendapatkan bantuan pernafasan.

“Doktor kemudian memaklumkan anak saya dalam keadaan baik dan dibenarkan pulang ke rumah pada 9.30 malam.

“Doktor turut berpesan supaya sentiasa memantau keadaan anak dan sekiranya dia mengalami simptom sama, saya perlu membawanya ke hospital dengan segera,” katanya ketika ditemui di sekitar rumahnya di Taman Kota Masai di Pasir Gudang, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kejadian itu, Alysha Qistina berkata, dia terhidu bau yang sangat busuk sebelum rasa pening kepala.

“Bau tu busuk, ada macam-macam bau. Macam bau sampah, macam bau rokok pun ada,” katanya.

Alysha Qistina berkata, ketika kejadian dia dan rakannya baharu memulakan sesi persekolahan sekolah agama yang mana kelas mereka terletak di tingkat empat bangunan berkenaan.

Katanya, dia sempat melihat rakannya yang lain pengsan, pening dan menangis dalam suasana kelam-kabut.

Pada masa sama, Aidi Rafizul yang juga kakitangan kerajaan berharap pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Perasaan risau itu memang ada, ini kali kedua berlaku. Saya harap pihak berkuasa memberi pendedahan awal kepada sekolah, bukan sahaja latihan kebakaran, sebab bila jadi bencana seperti ini, semua panik dan tidak tahu apakah tindakan awal yang sepatutnya diambil.

“Sekiranya ada pendedahan awal, mereka lebih bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan, secara tidak langsung keadaan akan lebih mudah dikawal,” katanya.

Dalam kejadian Mac lalu, kesihatan Alysha Qistina turut terjejas apabila pencemaran udara akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim menyebabkan murid sekolah loya, pening kepala dan muntah.

Bagaimanapun, keadaan Alysha Qistina lebih baik ketika itu yang mana dia tidak perlu mendapatkan rawatan di hospital sebaliknya dibenarkan pulang selepas menjalani saringan kesihatan.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 9:16pm
d