mutakhir

Dasar baharu P&P akan diperkenal

Oleh Hairulazim Mahmud

KERAJAAN akan melaksana dan mengusahakan polisi pendidikan yang baharu untuk menyediakan pelajar menghadapi era Revolusi 4.0.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika ditanya ura-ura pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berkata, menjadi hasrat kerajaan menyediakan pelajar yang kalis masa hadapan dengan ilmu baharu.

“PPSMI itu dulu. Kita akan buat dan usaha sesuatu yang baharu untuk tingkatkan kualiti pendidikan supaya rakyat Malaysia sedia hadapi Revolusi Industri 4.0.

“Kita akan pastikan murid kita di sekolah bersedia dan dilengkapkan dengan ilmu yang membuatkan mereka kalis masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-63 di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan membantah jika terdapat perancangan untuk melaksanakan semula PPSMI.

April lalu Kerajaan Sarawak bersetuju melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran yang pernah dimansuhkan itu.

Sarawak menjadi negeri pertama melaksanakan pengajaran dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris seperti dikehendaki Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Disiarkan pada: June 21, 2019 @ 11:12pm
d