mutakhir

Ajal terlanggar kerbau

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

DUA penunggang maut selepas motosikal dinaiki melanggar seekor kerbau di Jalan Utama Serting Hilir berhampiran Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam di Jempol, tengah malam tadi.

Muhammad Fakhri Fazim, 18, dari FELDA Tembangau 1, Pahang, maut di tempat kejadian. manakala Faqih Sarian Abdul Malik, 20, dari FELDA Tembangau 4, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian 12.35 tengah malam itu, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Dinamik dan Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari Serting Hilir ke FELDA Tembangau.

“Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua mangsa melanggar seekor kerbau yang berada di tengah jalan. Mereka dipercayai tidak menyedari kehadiran haiwan itu berikutan keadaan jalan yang gelap.

“Akibat rempuhan, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, Muhammad Fakhri disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala Faqih Sarian dikejarkan ke hospital, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan.

Katanya, kerbau yang dilanggar itu turut mati.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 12:11pm
d