mutakhir

Enam dah pulang, dua masih dirawat

Oleh Mary Victoria Dass

DUA mangsa terbaharu kes pencemaran udara di Sekolah Agama (SA) Taman Mawar di Pasir Gudang, Khamis lalu, masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala enam mangsa yang mendapatkan rawatan sejak hari pertama dibenarkan pulang sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, dua pesakit berusia 11 tahun terdiri daripada seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki Sekolah Agama Taman Mawar.

Menurutnya, mereka adalah pesakit terbaharu yang mendapatkan rawatan di HSI namun kedua-dua mangsa dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan.

Katanya, terdahulu enam pesakit mendapatkan rawatan di wad HSI sejak Khamis lalu dibenarkan pulang ke rumah, semalam.

“Dua pesakit baru itu dibenarkan pulang ke rumah selepas kejadian namun mereka menghadapi simptom sama hingga dirujuk ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke HSI, tengah hari semalam.

“Walaupun salah seorang daripada menghidap asma, pemeriksaan mendapati keadaan mereka stabil dan dijangka akan dibenarkan pulang dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Pasir Gudang, hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, tiada kes terbaru dilaporkan selepas jam 12 tengah hari tadi sehingga kini.

Menurutnya, buat masa ini tiada keperluan untuk menghadkan aktiviti luar bangunan dan orang ramai boleh meneruskan pelbagai urusan tanpa sebarang masalah.

“Penduduk tidak seharusnya panik kerana kami telus dalam perkara ini dan sentiasa memberi maklumat terkini. Tiada larangan untuk beriadah atau melakukan aktiviti luar seperti biasa,” katanya.

Kelmarin, enam murid perempuan berusia 9 hingga 10 tahun dari Sekolah Agama Taman Mawar di sini, ditahan di wad biasa HSI akibat sesak nafas dan muntah-muntah.

Mereka antara 15 individu termasuk dua dewasa yang menghidap simptom loya, pening kepala dan muntah-muntah selepas terhidu bau busuk dan pelik di sekolah itu, kelmarin.

Kedudukan SA Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Mawar hanya kira-kira 450 meter antara satu sama lain dan ia terletak hampir sembilan kilometer dari Sungai Kim-kim, kawasan berlaku pencemaran toksik pada 7 Mac lalu hingga menyebabkan 2,775 orang awam menerima rawatan dan sembilan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dalam kejadian itu, kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga kesemua 111 sekolah di seluruh Pasir Gudang diarahkan ditutup sementara.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 5:25pm
d