mutakhir

Rampas lebih 40,000 rokok seludup

Oleh Poliana Ronnie Sidom

KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 46,040 kotak rokok serta 486 botol minuman keras dalam operasi khas ke atas sebuah rumah, di Taman Tinosan, di Sandakan, semalam.

Lelaki berusia 53 tahun itu ditahan selepas serbuan dilaksanakan sepasukan anggota ESSCOM menemui pelbagai jenis rokok dipercayai diseludup serta minuman keras yang tidak bercukai, pada 5.45 petang.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata serbuan itu yang membabitkan tujuh anggota ESSCOM adalah hasil maklumat orang awam, sebelum menemui pelbagai jenis rokok dan minuman keras yang disembunyikan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Saya percaya rokok-rokok ini cuba diseludup dari Indonesia untuk dipasarkan ke kawasan pantai timur Sabah khususnya Sandakan berdasarkan modus operandi dan pengakuan suspek.

“Kita turut rampas sebuah kereta Proton Saga yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan berkenaan,” katanya.

Hazani berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, ESSCOM sentiasa memperketatkan kawalan terutama di kawasan yang disyaki menjadi laluan penjenayah dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kita akan mengadakan operasi khas secara berterusan dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi serta aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 5:49pm
d