mutakhir

Tergamak kau tinggal bayi tepi jalan!

Oleh Norizuan Shamsuddin

TERGAMAK tinggalkan bayi di tepi jalan bagi meloloskan diri daripada ditangkap pihak berkuasa.

Itu tindakan dilakukan penjaga kepada bayi lelaki berusia setahun terbabit yang didapati melarikan diri sewaktu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melakukan serbuan di Wangsa Permai Kepong, Kuala Lumpur, semalam.

Bayi terbabit ditemui dalam keadaan sendirian dan menangis teresak-esak di tepi jalan dan diselamatkan oleh anggota penguat kuasa JIM WPKL sebelum diserahkan kepada ibu saudaranya untuk tindakan lanjut.

Itu antara situasi yang berlaku sewaktu JIM WPKL menjalankan operasi bersepadu Op Kutip yang dilaksanakan di tiga lokasi iaitu di sebuah pangsapuri di Taman Sri Bahagia, Cheras, sebuah restoran dan sekitar laluan di Wangsa Permai Kepong, Kuala Lumpur.

Dalam serbuan bermula 11.30 malam hingga 4 pagi itu, JIM WPKL menahan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warga Nigeria, Myanmar, Thailand dan Pakistan.

Penolong Pengarah JIM WPKL, Mohd Sharulnizam Ismail berkata, operasi terbabit dilaksanakan susulan aduan penduduk tempatan berhubung masalah sosial yang didakwa ditimbulkan oleh warga asing di kawasan berkenaan terutamanya warga Afrika.

“Menerusi operasi itu kita memeriksa 83 warga asing dan hasilnya kami berjaya menahan 48 pati termasuk 10 wanita selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen antaranya tidak memiliki dokumen yang sah, tinggal lebih masa dan pas lawatan sosial tamat tempoh.

“Pecahan tangkapan adalah membabitkan 36 warga Nigeria termasuk enam wanita dan lima kanak-kanak, dua lelaki warga Pakistan, dua wanita warga Thailand dan lapan warga Myanmar termasuk dua wanita.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki majikan yang menggajikan warga asing tanpa permit untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, semua suspek terbabit di bawa Ibu Pejabat JIM WPKL untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 6:53pm
d