mutakhir

Tunggu sedikit masa lagi... [METROTV]

Oleh Fairuz Zaidan

ELAUN kritikal anggota bomba sebanyak RM200 sebulan secara prinsipnya dapat dilaksanakan, cuma perlu menunggu sedikit masa, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, kementerian itu kini sedang menunggu kata putus Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pemberian insentif elaun khas itu yang sudah beberapa kali diusulkan, sekali gus bakal memberi manfaat kepada seramai 14,000 anggota bomba di seluruh negara.

Katanya, sudah tiba masanya anggota bomba juga menikmati elaun kritikal itu yang sudah beberapa kali tertangguh, memandangkan anggota tentera serta polis sudah menikmatinya.

“Malah, dalam pertemuan saya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini, baginda juga bersetuju dan menyambut baik supaya elaun ini diberikan bagi menghargai pengorbanan dan jasa anggota bomba kepada negara.

“Jadi, kita akan menyampaikan lagi (hasrat) ini kepada Perdana Menteri supaya elaun ini dapat dilaksanakan.

“Insya-Allah kita yakin ia dapat dibuat, cuma menunggu masa. Secara prinsipnya okay, minta (anggota bomba) bertahan dan sabar sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perdana Aidilfitri anjuran Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT di Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari di Jasin, hari ini.

Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Jaafar; EXCO Wanita, Kebajikan Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Ginie Lim Siew Lin; Pengarah Bomba Melaka, Mohamad Zin Salleh dan Pengerusi Pertubuhan Harapan Rakyat Prihatin (HARAP) Melaka, Abdul Wahab Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Zuraida yang juga Naib Presiden PKR, mahu rakyat Malaysia terus bergerak ke depan bersama kepemimpinan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) dengan membawa membawa budaya pemikiran baharu yang dapat membangunkan negara.

“Seperti kebelakangan ini (isu) video lucah. Takkan negara kita nak dikenali sebagai negara video lucah kerana ia tidak baik untuk negara.

“Kita mahu bina semula Malaysia yang baharu. Maka rakyat harus membawa budaya baharu kerana kita sudah ke belakang selama 20 tahun, jadi kita nak kejar dan capai (sasaran pembangunan) dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 9:08pm
d