mutakhir

1 maut, 2 cedera kereta bertembung

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

SEORANG maut, manakala dua lagi cedera selepas dua kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kampung Menerong, Kilometer 52 Jalan Kuala Terengganu-Mengkawang, Kuala Terengganu, 11.45 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku apabila kereta Perodua Kenari yang dipandu Mohd Hafizudin Ghazali, 25, dari arah Ajil ke Menerong bertembung dengan kereta Perodua Viva yang dipandu Ab Rahman Mohd Adam, 74, dari arah bertentangan.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Mohd Hafizuddin dipercayai hilang kawalan dan memasuki arah bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu Ab Rahman.

Katanya, kemalangan menyebabkan Ab Rahman meninggal di tempat kejadian, manakala Mohd Hafizudin dan seorang lagi penumpang Izdlan Ruzain Sabri, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong cedera dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT).

“Siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan cuaca berada dalam keadaan baik dan permukaan jalan juga kering.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2019 @ 9:25pm
d