mutakhir

Rawatan serendah RM5 di klinik wakaf

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

AMPANG: Hanya dengan bayaran serendah RM5, penduduk Ampang dan kawasan sekitarnya mampu mendapatkan rawatan di klinik wakaf di Masjid Bukit Indah di sini, yang dikendalikan sepenuhnya Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Operasi Perniagaan KPJ Healthcare Berhad Mohd Nasir Mohamed berkata, klinik wakaf yang dibuka sejak 10 tahun lalu itu memberi manfaat kepada penduduk kawasan berkenaan khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, klinik yang beroperasi lima hari seminggu itu hanya memerlukan pesakit membayar RM5 yang meliputi kos perundingan bersama doktor dan ubatan.

“Ini inisiatif Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan kesihatan lebih sempurna.

“Manfaat ini dalam masa sama dapat memberikan faedah kesihatan yang lebih baik, sekali gus membantu masyarakat mengurangkan kos perubatan yang perlu dibayar jika pergi mendapatkan perkhidmatan di klinik swasta lain,” katanya ditemui pada Majlis Aidilfitri di Rumah Perlindungan Nur Hati di sini, semalam.

Majlis itu meraikan penghuni pusat perlindungan berkenaan yang terdiri daripada kanak-kanak kurang bernasib baik, mualaf dan wanita yang memerlukan perlindungan.

Mohd Nasir berkata, bagi penghuni Rumah Perlindungan Nur Hati, Hospital Pakar KPJ berbesar hati untuk menanggung sepenuhnya kos rawatan dan ubatan ketika mendapatkan perkhidmatan di klinik wakaf berkenaan.

Sementara itu, Pakar Kanak-kanak Dr Fadzlina Abdul Aziz berkata, beliau berbesar hati kerana dapat menyertai majlis berkenaan yang dilihat platform terbaik untuk bergaul dengan penghuni pusat perlindungan berkenaan.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 6:00am
d