mutakhir

Tergelincir tertembak lelaki

Oleh Recqueal Raimi

LELAKI cedera di bibir, dada dan tangan selepas terkena tembakan di Kampung Lokub, Kiulu, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun dipercayai terkena tembakan daripada senjata buatan sendiri jenis ‘ginsuk’ yang dilepaskan oleh pemburu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa sedang mengutip buah mangga di kawasan kebun dan terdengar bunyi tembakan sebelum rasa sakit di bahagian badan.

Katanya sejurus selepas kejadian, suspek lelaki berusia 42 tahun yang terdengar jeritan itu muncul di hadapan mangsa dalam keadaan panik.

“Suspek kemudiannya membantu dan membawa mangsa ke Hospital Jesselton Medical Centre (JMS), Kota Kinabalu untuk menjalani rawatan lanjut.

“Sebaik menerima aduan, polis menahan suspek pada Khamis lalu sebelum mengaku terbabit dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, hasil siasatan lanjut, suspek dikatakan tidak sengaja tertembak mangsa kerana tergelincir ketika berjalan dan ingin menembak tupai.

“Suspek yang tergelincir kemudiannya tertekan picu dan terlepas satu das tembakan ke arah mangsa.

“Pada masa sama, suspek juga tidak mengetahui mangsa berada di kawasan kebun itu. Senjata yang digunakan suspek masih lagi dikesan,” katanya.

Katanya lagi, kes masih dalam siasatan pihaknya mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 10:55am
d