mutakhir

Hishammuddin ke SPRM beri keterangan [METROTV]

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

BEKAS Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini bagi memberi keterangan berhubung isu ‘land swap’ tanah milik Kementerian Pertahanan yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Beliau tiba 11.02 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam dan akan memberi keterangan berhubung isu pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015.

Hishammuddin yang berbaju kemeja biru sempat menyapa kumpulan wartawan dan jurugambar yang menanti kehadirannya sejak 9 pagi.

“Saya tidak tahu apa soalan yang akan ditanya SPRM, namun saya akan beri kerjasama sepenuhnya tanpa takut atau memihak kepada sesiapa.

“Tiada apa yang saya sembunyikan. Apa yang penting sekarang adalah moral anggota tentera kita dan keluarga mereka, jadi kita selesaikan perkara ini,” katanya.

Khamis lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi keterangan berhubung ‘land swap’ berkenaan.

Februari lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menterinya, Mohamad Sabu, dilaporkan berkata, perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek RM4.8 bilion.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan dua individu direman selama enam hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015.

Pada 13 Jun lalu, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang sehingga kini belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 11:29am
d