mutakhir

Siasat harga simen di Sarawak

Oleh Mohd Husni Mohd Nood

KEMENTERIAN Kewangan mahu satu siasatan dilakukan bagi menentukan sama ada berlakunya monopoli di Sarawak susulan kenaikan harga simen di negeri itu berbanding Semenanjung.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, simen adalah bahan binaan asas dan sebarang kenaikan harga simen yang ketara akan disalurkan semula ke dalam ekonomi sekali gus menjejaskan kuasa membeli pengguna.

“Kerajaan mendapati harga simen di Sarawak adalah secara ketara lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

“Satu penyiasatan diperlukan bagi menentukan sama ada ia akibat amalan monopoli industri tempatan di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggiat industri pengilangan simen di negara ini bersetuju untuk mengekalkan harga barang kawalan itu selepas kementeriannya mengadakan pertemuan dengan penggiat industri simen.

Beliau berkata, KPDNHEP sebagai pihak yang mengeluarkan lesen mengilang dan memborong di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 menyatakan ada beberapa prasyarat yang perlu dipatuhi oleh mereka jika mahu menaikkan harga maka sebarang kenaikan perlu dimaklumkan terlebih dahulu kerana ia termasuk dalam barangan kawalan.

Guan Eng berkata, tindakan kerajaan berbincang dengan syarikat industri simen berjaya mengekang kenaikan harga bahan binaan terbabit.

Beliau berkata, ia susulan Saifuddin Nasution membuktikan komitmen kerajaan untuk mengawal kos sara hidup rakyat pada tahap yang berpatutan.

“Kejayaan kerajaan ini menjawab kebimbangan awam akan ura-ura kenaikan harga simen setinggi 40 peratus di Semenanjung Malaysia seperti dilaporkan media minggu lalu.

“Ia juga meredakan kerisauan awam bahawa pengeluar terbesar simen tempatan menyalahgunakan kuasa pasaran mereka untuk menaikkan harga simen secara tidak adil,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, kadar inflasi bagi pengguna di Malaysia kekal rendah dan stabil.

“Indeks Harga Pengguna untuk bulan April tahun ini meningkat sebanyak 0.2 peratus sahaja, iaitu pada kadar yang sama untuk bulan Mac 2019,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 12:56pm
d