mutakhir

Tunggu keputusan ujian darah mangsa-MB Johor

Oleh Ibrahim Isa

KERAJAAN negeri masih menunggu keputusan ujian darah semua mangsa pencemaran udara terbaru di Pasir Gudang, Khamis lalu, sebelum boleh mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan masih berusaha mengenal pasti punca sebenar berikutan kes itu berbeza dengan pencemaran udara berlaku di Sungai Kim Kim, Mac lalu.

“Dalam kejadian itu, kita tahu punca sebenarnya namun kali ini tidak. Sebab itulah kita perlu menunggu keputusan ujian darah yang hanya akan diketahui esok.

“Sehingga pagi ini punca sebenar pencemaran udara yang menjejaskan 13 pelajar dan dua dewasa masih belum dikenal pasti. Sebaik menerima keputusan ujian darah semua mangsa esok, kita akan maklumkan punca pelajar mengalami simptom muntah dan sesak nafas.

“Ketika ini, kita masih tidak tahu tiba-tiba pelajar mual, muntah dan pengsan. Kita masih mencari-cari dan siasat punca kejadian namun tidak dapat pastikan berapa hari diperlukan (untuk ketahui punca),” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Letak Kerja Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Bukit Senyum, Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani.

Pada masa sama, Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji pembinaan kawasan perindustrian khusus dan terasing daripada penempatan awam seperti di Pasir Gudang.

“Saya akan kaji (berhubung cadangan mewujudkan kawasan industri khusus) dengan lebih lanjut,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 3:12pm
d