mutakhir

Amukan cemburu buta

Oleh Shamsul Munir Safini

CEMBURU buta menyebabkan seorang lelaki menetak kekasihnya dan anak wanita itu di sebuah pangsapuri di Air Itam, Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi, mangsa Chung Chang Qin, 21 dan ibunya Oung Lay Eng, 55, parah apabila ditetak di leher oleh suspek berusia 61 tahun selepas berlaku pergelutan di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek yang bersenjatakan pisau tinggal bersama mangsa di rumah itu.

Katanya, kejadian berlaku apabila pasangan kekasih itu bertengkar sebelum mangsa ditetak oleh suspek.

“Anak lelaki mangsa cuba mempertahankan ibunya namun turut cedera di leher akibat terkena pisau dilibas suspek.

“Suspek tinggal di rumah mangsa dan anaknya itu sejak beberapa bulan lalu namun mereka belum berkahwin.

“Sebelum kejadian, wanita itu keluar manakala lelaki berkenaan menunggu di rumah hingga mangsa pulang jam 1.30 pagi,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu berlaku pergaduhan antara mereka dipercayai akibat perasaan cemburu suspek apabila wanita berkenaan didakwa mempunyai teman lelaki lain.

Katanya, anak mangsa yang berada di rumah cuba campur tangan dengan mempertahankan ibunya sebelum suspek mengambil pisau dan menetak kedua-duanya.

Che Zaimani berkata, dalam pergelutan itu suspek turut cedera di bahagian kepala, muka dan perut.

Katanya, jiran mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian menghubungi pihak berkuasa sebelum ketiga-tiganya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.

“Suspek yang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan HPP kemudian ditahan polis 8.30 pagi tadi. Polis turut merampas dua pisau di lokasi kejadian dan kedua-dua mangsa dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah ke atas mangsa menggunakan senjata.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 4:05pm
d