mutakhir

Tendang, tumbuk selepas ejek

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KEJADIAN buli yang tular di Facebook (FB) sejak pagi tadi dipercayai berpunca akibat ejek-mengejek antara dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Setiu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu membabitkan pelajar tingkatan dua dan empat yang berlaku dalam kelas di sekolah berkenaan, semalam.

“Kita sedia maklum mengenai kejadian buli itu selepas ia tular di FB sejak pagi tadi. Namun, setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak.

“Difahamkan, pihak sekolah sedang berurusan dengan ibu bapa dua pelajar terbabit untuk menyelesaikan kes tanpa membabitkan polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Terdahulu, video berdurasi 14 saat menunjukkan seorang pelajar menendang dan menumbuk seorang lagi pelajar di dalam kelas sambil diperhatikan beberapa pelajar lain.

Aidi berkata, polis memandang serius kejadian itu dalam kalangan pelajar yang biasanya berpunca daripada isu kecil seperti ejek-mengejek yang akhirnya membawa kepada kes buli.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk pelajar menuntut ilmu dan kita tidak mahu kejadian buli seperti ini menimbulkan rasa kurang selesa pelajar untuk ke sekolah.

“Jadi, sebab itu pelbagai program kesedaran gejala buli dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama pihak sekolah dalam usaha mengekang gejala ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 8:43pm
d