mutakhir

Gelongsor air terpanjang di dunia dibuka Ogos [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

GELONGSOR air di Taman Tema Escape, Teluk Bahang, Georgetown yang dijangka menjadi terpanjang di Malaysia dan di dunia dijangka siap pada Julai depan.

Gelongsor sepanjang 1,140 meter itu sudah disiap dibina sebanyak 80 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sim Choo Kheng berkata, gelongsor dibina menghubungkan Adventure Play dan Water Play itu kini berada dalam fasa ketiga iaitu di Gravity Play.

Beliau berkata, gelongsor berkenaan dibina sejak dua bulan lalu dan keseluruhan pembinaan fasa ketiga membabitkan kos sebanyak RM10.6 juta dengan 80 peratus daripadanya sudah siap.

“Jika siap kelak, ia dijangka menjadi yang terpanjang di dunia mengatasi gelongsor air di New Jersey, Amerika Syarikat iaitu sepanjang 602 meter dan boleh mendapat pergiktirafan daripada Guiness Book of Record.

“Memang mencabar untuk menyiapkannya berikutan faktor topografi serta kekurangan jentera dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada awal Ogos selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan" katanya.

Sim ditemui selepas mengadakan lawatan di tapak gelongsor berkenaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Warisan, Budaya dan Seni Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin.

Dari puncak bukit, pengunjung akan menggelongsor ke bawah dan menyeberangi Jalan Teluk Bahang di sebelah jambatan gantung dan berakhir di kolam renang taman tema air.

Puncak bukit akan menjadi permulaan bagi gelongsor (ride) yang lain seperti luge (sleds menuruni bukit), zip coasters dan tiub gelongsor.

Taman tema itu mempunyai satu gelongsor air sedia ada sepanjang 300 meter yang dilancarkan pada 2018.

Mengulas lanjut, Sim berkata, terdapat kereta kabel sepanjang 400 meter dengan 30 kerusi, yang bakal siap pada masa sama di bawah fasa ketiga dan bakal menjadi tarikan terbaharu.

“Kereta kabel itu menghubungkan antara kaki bukit hingga ke permulaan gelongsor air terpanjang dan tarikan berkenaan amat unik berikutan ia akan melalui kawasan hutan," katanya lagi.

Taman tema berkenaan menjadi yang terbaik di Malaysia seperti yang tersenarai dalam laman penilai percutian antarabangsa, TripAdvisor.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 9:42pm
d