mutakhir

Inspektor didakwa minta, terima sogokan RM5,500

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SEORANG inspektor dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM5,500 daripada pemberi pinjaman wang tanpa lesen di Batu Pahat, dua tahun lalu.

Tertuduh, Lim Yen Jee, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Lim yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, secara rasuah meminta untuk dirinya RM3,000 daripada Lau Shie Qun.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal iaitu tidak mengambil tindakan terhadap Lau bagi menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen di Batu Pahat.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Bindu Mukim 6, Tongkang Pecah, Batu Pahat, pada 12.25 pagi, 4 Oktober 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta suapan bernilai RM2,500 daripada individu sama di sebuah hotel di Batu Pahat, pada 6.15 petang, 5 Oktober 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Nor Syarina Raizan, manakala tertuduh diwakili peguam bela Chuah Shyue Chien.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Julai depan.

Tertuduh turut dibenarkan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 10:27am
d