mutakhir

'Saya tak fikir Azmin sebodoh itu'

Oleh Hairulazim Mahmud dan Nabil Basaruddin

“SAYA tak fikir dia (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) sebodoh itu untuk buat perkara berkenaan,” tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, malah Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak perlu melepaskan jawatannya kerana itu bukan amalan di negara ini sekiranya timbul isu kontroversi.

Sebaliknya beliau menyokong Mohamed Azmin dengan menegaskan bahawa isu berkenaan adalah cubaan yang sengaja yang dilakukan untuk menjatuhkan Timbalan Presiden PKR itu.

“Saya fikir ada cubaan yang sengaja perangkap dia. Dengan kehebatan elektronik masa kini, anda boleh tunjuk macam-macam gambar yang mungkin betul atau tidak.

“Sebab itu itu kita perlu tolak berita palsu. Kita mesti bertindak ke atas mana-mana berita palsu,” kata beliau kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada dPersidangan Minyak dan Gas Asia Ke-20 (AOGC 2019) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas tulisan wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkaitan kontroversi video seks yang dikatakan dirakam di Sandakan dan didakwa membabitkan Mohamed Azmin.

Walaupun beliau tidak menyentuh isu berkenaan secara spesifik, Kadir memberikan contoh senarai menteri luar negara yang meletak jawatan kerana dakwaan salah laku seksual.

Antara contoh yang diberikannya ialah Menteri Perusahaan Kecil, Pengguna dan Tanggungjawab Korporat United Kingdom, Andrew Griffiths yang meletak jawatan kerana menghantar mesej berbaur seksual kepada wakil rakyat wanita dan di Kanada pula, Menteri Pembangunan Ekonomi Ontario, Jim Wilson turut membuat perkara sama.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 11:48am
d