mutakhir

Penyelam lemas tersangkut di dasar laut

Oleh Kandau Sidi

MAYAT penyelam dijumpai lemas selepas tersangkut di dasar laut di perairan Miri pada 10 pagi, hari ini.

Mayat, Sim How Hua, 41, berasal dari Krokop masih lengkap memakai peralatan menyelam, dijumpai pasukan penyelam yang terbabit dalam gerakan mencari dan menyelamat yang dilancarkan sejak petang semalam.

Jurucakap Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang terbabit dalam operasi itu berkata, mangsa dijumpai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayatnya akan dihantar ke rumah mayat Hospital Miri untuk bedah siasat,” katanya, hari ini.

Mangsa seorang lelaki tempatan sedang melakukan selaman rekreasi di lokasi 4.5 batu nautika barat laut Miri dan memakai peralatan menyelam yang lengkap.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hilang pada 4.10 petang.

Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejak 9.40 malam tadi selepas pihak berkuasa menerima laporan kes itu. Operasi turut disertai pasukan selaman Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri.

Sementara itu, rakan mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka keluar bersama empat rakannya yang lain.

Katanya, mangsa bukan penyelam baru, malah memiliki lesen yang diperlukan serta pernah berulang kali menyelam di lokasi sama.

“Dia sudah banyak kali menyelam di kawasan berkenaan dan tidak pernah mengalami masalah. Cuaca ketika kejadian agak baik,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 12:57pm
d