mutakhir

Tertekan keluarga isteri minta duit kenduri kahwin

Oleh Shamsul Munir Safini

TERTEKAN dengan keluarga isterinya yang sering meminta wang belanja majlis perkahwinan, lelaki bertindak membuat laporan polis palsu kononnya dia kerugian wang tunai RM10,000 dan hilang dokumen pengenalan diri selepas disamun di Prai, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, juruteknik lelaki berusia 45 tahun yang akan mengadakan majlis resepsi pada 25 Ogos ini membuat laporan samun palsu di Balai Polis Perai, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek membuat laporan polis pada 6.30 petang kononnya dia disamun dua lelaki di hadapan kilang di Taman Nagasari.

“Di dalam laporannya, suspek mendakwa kononnya beg silang mengandungi wang tunai RM10,000 dan dokumen peribadinya ditarik seseorang sebelum mereka memotong tali beg berkenaan menggunakan pisau.

“Suspek juga mendakwa kononnya akibat daripada kejadian itu, dia mengalami luka di lengan kiri,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan, polis mendapati laporan dibuatnya mencurigakan kerana tiada kejadian samun seperti yang didakwa suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan kilang itu.

Katanya, suspek juga pernah membuat laporan polis yang sama pada 2010 dengan menyatakan disamun dua lelaki menaiki motosikal dengan ‘jalan cerita’ yang sama .

Nik Ros Azhan berkata, suspek mengaku membuat laporan palsu kerana kesempitan wang dan mahu menangguhkan majlis perkahwinannya.

“Keluarga pihak perempuan meminta wang daripadanya untuk persiapan majlis perkahwinan dan membuatkannya tertekan sebelum dia bertindak membuat laporan polis palsu mengatakan wang untuk majlis perkahwinan disamun.

“Suspek bernikah pada 15 Jun lalu dan akan melangsungkan majlis resepsi pada 25 Ogos ini di Kebun Sireh,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 2:06pm
d