mutakhir

Sudah tiga hari ceroboh perairan Malaysia

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama enam awak-awak dan seorang tekong yang menceroboh perairan negara di kedudukan 28 batu nautika dari tenggara Pulau Jarak, Lumut, 8.40 pagi semalam.

Bot berkenaan dipercayai sudah tiga hari berada di laut dan turut dirampas pelbagai jenis ikan seberat 100 kilogram.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kehadiran nelayan asing itu dikesan bot ronda APMM ketika sedang melakukan rondaan.

“Nelayan ditahan berusia antara 20 hingga 46 tahun, mereka gagal menunjukkan dokumen berkaitan bot berkenaan. Mereka juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia.

“APMM akan bertindak tegas kepada mana-mana bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan dan melakukan pencerobohan di zon tangkapan ikan,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 2:35pm
d