mutakhir

Akhirnya tumpas jua...[METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

SINDIKET dadah terbesar di Selangor tumpas selepas polis merampas Methamphetamine 556.2 kilogram (kg) bernilai RM27.8 juta di rumah dua tingkat di Subang Jaya, Jumaat lalu.

Serbuan dijalankan 3 petang oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hasil risikan dan maklumat mengenai rumah itu yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pemeriksaan mendapati 85 bungkus dadah Methampethamine dibungkus dalam paket teh cina ditemui di ruang tamu kediaman.

Beliau berkata, siasatan lanjut menemui 455 bungkus dadah dalam paket teh Cina disembunyikan di sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di kawasan parkir rumah.

“Hasil serbuan, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 18 dan 28 tahun yang bekerja sebagai penjaga kediaman.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah RM27.8 juta dan polis turut menyita kenderaan digunakan sindiket dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya pada sidang media di IPK Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan direman tujuh hari sehingga 28 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Noor Azam berkata, hasil siasatan mendapati rumah berkenaan disewa dua bulan lalu oleh sindiket dan dijadikan stor penyimpanan dadah sejak 18 hari sebelum diserbu polis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, harga dadah 1kg yang dibungkus di dalam teh cina itu dianggarkan bernilai RM50,000 namun ia boleh mencecah ratusan ribu jika dipasarkan di luar negara.

“Dadah ini dipercayai diperoleh sekitar Lembah Klang dan untuk pasaran tempatan selain turut dieksport ke negara Asia.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini dipercayai untuk kegunaan 2.7 juta penagih dadah,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 4:11pm
d