mutakhir

Tertidur rumah rakan rupanya...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KANAK-kanak perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Puncak Alam, Selangor, untuk beraya semalam, ditemui selamat apabila didapati tertidur di rumah rakannya di kawasan berhampiran kediamannya.

Kehilangan kanak-kanak itu, Syafiqah Farhan’ie Mohd Norhisyam, 9, disedari kakak mangsa yang memaklumkan kejadian itu kepada ibu mereka 9 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Astana Alam 3, Erizani Abdul Rahim berkata, penduduk di kawasan kejiranan itu mengambil inisiatif mencari kanak-kanak itu sebaik mengetahui mengenai perkara itu awal pagi tadi.

“Kami (penduduk) mula menghubungi ibu bapa rakan kanak-kanak itu melalui mesej kumpulan sembang sekolah mereka untuk mengesan identiti rakannya yang dikatakan keluar beraya bersama semalam.

“Menerusi maklumat daripada kumpulan itu, kami mengenal pasti rakannya yang tinggal berhampiran sebelum menemui kanak-kanak itu yang tidur di rumah rakannya itu 10 pagi tadi.

“Difahamkan kanak-kanak itu tertidur selepas keluar beraya dengan rakan-rakannya tanpa memaklumkan kepada ahli keluarganya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kanak-kanak terbabit dikatakan hilang selepas keluar beraya bersama dua rakannya 1 tengah hari semalam.

Berita berkaitan

Tak pulang lepas beraya

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 6:02pm
d