mutakhir

Mana mahu lari...

Oleh Muhammad Apendy Issahak

POLIS kini memburu lelaki yang berjaya meloloskan diri ketika cuba diberkas dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Hospital Kuala Kangsar malam tadi.

Lelaki yang sudah dikenalpasti berusia 27 tahun dan ada 15 rekod jenayah lampau itu berjaya meloloskan diri melalui kawasan hospital berkenaan selepas kereta dinaiki terhenti di lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, seorang daripada suspek yang berusia 18 tahun berjaya ditahan dan polis menemui sejumlah dadah dan sepucuk pistol mainan serta vest polis dalam kenderaan dinaiki suspek.

“Dalam usaha suspek melepaskan diri dari tangkapan, kereta dinaiki dua lelaki itu dipandu menongkah arus trafik dan melanggar motosikal serta beberapa kenderaan lain sebelum ditahan di lampu isyarat Hospital Kuala Kangsar.

“Seorang suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai, sementara seorang lagi berjaya melepaskan diri melalui kawasan hospital dan usaha mengesannya giat dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut mengedarkan gambar suspek yang berjaya meloloskan diri itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada polis.

Berita berkaitan

Tiada kejadian berbalas tembakan

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 6:27pm
d