mutakhir

Bukan mudah pindah setinggan - Dr Mahathir [METROTV]

Oleh Hairulazim Mahmud

TUN Dr Mahathir Mohamad mengakui sukar untuk memindahkan setinggan di Bukit Malut, Langkawi kerana akan menyentuh sensitiviti penduduk tempatan di pulau peranginan itu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja besar dengan menyediakan rumah gantian kepada penduduk setinggan terbabit yang akan mengakibatkan penduduk tempatan tidak berpuas hati.

“Ini masalah setinggan dari luar. Bukan mudah kita tangani perkara seperti ini. Apa kita boleh buat? Kita boleh musnahkan semua rumah, tapi ada orang di situ.

“Maka kena pindah dan letak mereka duduk di tempat yang sempurna.

“Mereka adalah orang bekerja dan mempunyai pendapatan yang cukup untuk sara hidup mereka. Ia berlaku di mana-mana tempat pun sebab setinggan, pendapatan rendah. Sebab itu mereka tidak hidup sempurna.

“Kalau hendak dipindahkan, membabitkan duit. Duit kitalah, kita pun belum buat kajian untuk pindah, tetapi hendak pindah ke mana. Dulu sekali kita sudah pindah, kita bagi pada mereka ini tetapi orang Langkawi cakap pendatang dapat rumah, kami dapat apa? Itu kena jaga juga,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas laporan penempatan yang merangkumi beberapa kampung kecil itu dianggap lokasi paling hitam di pulau peranginan berkenaan berikutan laporan kes jenayah serta berkaitan dadah kerap berlaku.

Ia adalah penempatan haram dibina penghuninya secara menceroboh tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuah.

Ketika ini, dianggarkan ada lebih 800 kediaman dibina di kawasan itu dengan jumlah penghuninya dianggarkan di antara 5,000 hingga 8,000 orang menetap secara kekal.

Difahamkan, penempatan itu mula dibuka sejak awal 1980-an oleh pelarian Myanmar, yang membina rumah di kawasan pesisir laut sebelum ia terus berkembang sehingga ke kawasan berbukit.

Dalam pada itu, ditanya mereka boleh mempunyai kad pengenalan, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau tidak mengetahuinya.

Sementara itu berkaitan masalah penyeludupan dadah yang menghantui Langkawi berpunca daripada kedudukan geografinya sebagai pulau.

“Sebab Langkawi sebuah pulau dan tempat orang boleh sampai ke pantai, tidak semua polis dan penguat kuasa agensi lain boleh sampai.

“Pulau sebegitu besar, kemungkinan dadah akan masuk bukan ikut pintu biasa, tapi di mana saja. Ini perlu pasukan tentera besar untuk jaga seluruh pantai di Langkawi,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 7:01pm
d