mutakhir

Dua lelaki 'bermesra' atas motosikal [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PENULARAN video yang memaparkan dua lelaki ‘bermesra’ di atas motosikal yang dipercayai dirakam di Sungai Isap, Kuantan mendapat kecaman warganet.

Majoriti warganet mengutuk tindakan dua lelaki itu dan menyifatkan tindakan mereka terlalu berani kerana berkelakuan sumbang di kawasan terbuka.

Video berdurasi 49 saat itu mula tular semalam selepas ia dimuatnaik di laman sosial Facebook.

Rakaman itu antara lain memaparkan seorang lelaki duduk di atas motosikal sambil pasangannya berdiri di sisi motosikal itu.

Pasangannya dilihat memeluk lelaki itu dan beberapa kali mencium muka dan lehernya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Bagaikan tiada perasaan malu sebaliknya mereka ‘asyik’ melakukan perbuatan jijik meskipun beberapa kenderaan dilihat lalu lalang di kawasan berkenaan.

Rata-rata warganet mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dua individu berkenaan kerana bimbang gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menular di dalam masyarakat.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata, pihaknya memandang serius perlakuan itu yang disifatkan tidak sopan dan mencemarkan imej Islam.

“Tindakan mereka itu adalah bertentangan dengan agama dan saya meminta individu yang merakam video itu untuk tampil membuat aduan kepada kita.

“Untuk mengenalpasti identiti dua lelaki dan tarikh sebenar kejadian itu kita perlu mendapatkan maklumat dari perakam video berkenaan,” katanya.

Katanya, setakat ini tiada laporan dibuat berhubung video itu dan siasatan akan dilakukan termasuk mengenai kesahihannya sebelum sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya juga tidak menerima laporan berhubung penularan video berkenaan.

“Kita masih belum menerima laporan mengenainya (video),” katanya ringkas.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 7:20pm
d