mutakhir

Suspek samun, curi motosikal tumpas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menahan empat lelaki yang menyamun seorang wanita di Kampung Sungai Gahal Batu 13, Hulu Langat, Kajang, 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, suspek berusia 25 hingga 30 tahun menyamun wanita berkenaan di sebuah kedai runcit.

Menurutnya, ketika cuba melarikan diri kereta dinaiki suspek terbabas berhampiran tempat kejadian.

“Orang awam yang berada di tempat kejadian menahan seorang lelaki manakala dua lagi berjaya melarikan diri.

“Hasil siasatan terhadap suspek yang ditahan, kami menahan tiga lagi suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di Hulu Langat pada hari yang sama,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, hasil penahanan suspek polis merampas sebuah kereta, empat motosikal dilaporkan hilang, 10 telefon pintar dan rantai emas.

“Kami yakin dapat menyelesaikan tiga kes samun dan empat kes curi motosikal dengan kejayaan menahan empat suspek ini.

“Semua suspek masih ditahan reman bagi membantu siasatan kes di daerah lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ends//

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 8:05pm
d