mutakhir

[UPDATE] Kereta terbabas masuk laluan bas

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KETIGA-TIGA mangsa maut dalam kemalangan membabitkan kereta dengan bas persiaran di Jalan Gerik-Baling, Gerik petang semalam sudah dikenal pasti dan polis sedang mengesan keluarga mangsa.

Mangsa maut adalah pemandu kereta Perodua Myvi, Muhamad Syahidi Ahamad Kamil, 24; penumpang depan, Khairul Amirin Tengku Kamarudin, 24, dan penumpang belakang kanan, Mohamad Shazlimie Mohd Rosli, 24.

Manakala mangsa parah pula adalah penumpang belakang kereta berkenaan, Mohd Shahrin Rasid, 23, yang cedera di kepala dan semua mangsa beralamat di Kota Bahru, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kemalangan antara Perodua Myvi dengan bas persiaran itu berlaku di Kilometer 6.5 Jalan Gerik-Baling dan membabitkan keseluruhan 13 mangsa termasuk seorang pemandu bas serta sembilan penumpang.

Beliau berkata, pemandu bas berusia 46 tahun dan semua penumpang tidak cedera.

“Polis menerima maklumat mengenai kejadian pada 5.20 petang dan siasatan awal mendapati kereta dinaiki empat mangsa itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke arah Gerik, manakala bas dari arah bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bas sebelum bertembung,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, tiga mangsa tersepit di dalam kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang parah kini dirawat di Hospital Gerik.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati laluan berkenaan adalah jalan lurus menurun bukit dari arah Kupang, manakala selekoh mendaki dari arah Gerik dengan garisan berkembar pembahagi jalan dua hala.

“Punca kemalangan dipercayai kereta Perodua Myvi hilang kawalan dan terbabas masuk laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas hingga mengakibatkan kereta berkenaan remuk sepenuhnya di bahagian depan manakala bas pecah cermin serta remuk bahagian kanan hadapan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bedah siasat akan dijalankan selepas waris mangsa dikenal pasti,” katanya.

Berita berkaitan

'Tiga maut kereta berlanggar bas persiaran'

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 1:26am
d