mutakhir

Cubaan curi duit tabung

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

MELAKA: Madrasah Nur At Taufiq, Taman Saujana Indah, Bukit Katil di sini, tidak diserang dengan batu, sebaliknya insiden yang berlaku tengah malam kelmarin adalah cubaan mencuri duit tabung.

Pengerusi madrasah itu, Abd Rahim Abd Jalil berkata, pihaknya tidak menemui sebarang batu dalam bangunan rumah ibadat itu yang menyebabkan pintu gelangsar pecah.

Berikutan itu, beliau menafikan dakwaan pihak tertentu di Facebook yang mengatakan madrasah diserang orang dengan batu sehingga berlaku kerosakan.

“Kejadian disedari seorang kariah dan isterinya yang lalu di hadapan surau dan memberhentikan kenderaan mereka selepas mendengar bunyi kaca kira-kira 12.30 malam semalam (kelmarin).

“Dia terus ke surau dan mendapati cermin pada pintu gelangsar untuk masuk ke ruangan wanita sudah pecah dan terdapat kesan umpilan. Malah, tingkap di ruangan imam juga turut diumpil.

“Kami percaya, kejadian ini berlaku kerana ada pihak cuba mencuri duit tabung madrasah memandangkan sebelum ini pernah berlaku kejadian sama dan duit hilang RM300,” katanya ditemui di sini, semalam.

Abd Rahim, 66, berkata, dia percaya pihak yang mengatakan madrasah berusia 12 tahun itu diserang adalah sengaja bangkitkan provokasi dan pihaknya sudah membuat laporan polis.

Katanya, dalam kejadian itu tiada barangan yang hilang dan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) atau jeriji besi di setiap pintu dan tingkap selepas ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, hasil pemeriksaan jawatankuasa masjid dan polis mendapati cermin pintu gelangsar bahagian kanan surau pecah dan terdapat kesan umpil pada pintu berkenaan.

“Suspek dipercayai cuba memasuki surau dan pintu berkenaan didapati ditarik keluar menyebabkan cerminnya pecah.

“Tiada sebarang alatan ditemui untuk memecahkan cermin pintu itu di surau atau sekitar kawasan. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 7:00am
d