mutakhir

Pokok hiasan pun nak seludup?

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis menghalang cubaan membawa masuk lima pokok hiasan daripada keluarga ‘Air Plant’ secara haram dari Thailand, Selasa lalu.

Penemuan itu hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori pada Selasa lalu di MAQIS Padang Besar.

Pengarah MAQIS Perlis, Khairi Arif berkata, pihaknya turut mengenakan kompaun ke atas sebuah syarikat swasta tempatan selepas lori terbabit yang dimiliki oleh syarikat berkenaan gagal mengemukakan Sijil Fitosanitasi bagi semua tumbuhan terbabit ketika diperiksa.

“Sebanyak 3,546 unit pokok hiasan yang dimuatkan dalam 23 kotak terdiri daripada spesies Aechmea Fasciata, Tillandsia Andreana, Tillandsia Ionantha Fuego, Tillandsia Stricta, dan Tillandsia Ionantha dirampas pihak MAQIS Perlis.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua tumbuhan berkenaan mendapati ia tidak memiliki sijil perakuan kebenaran yang sah bagi memasuki ke negara ini sebagai barangan import,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairi berkata, nilai rampasan kesemua tumbuhan berkenaan berjumlah RM15,651.24.

“Sebuah syarikat dalam negara ini turut dikompaun sebanyak RM1,600 kerana gagal mematuhi peraturan import mengikut Peraturan-Peraturan Kuarantin Dan Pemeriksaan (Perkompaunan Kesalahan) 2019.

“Ia bertujuan sebagai peringatan kepada syarikat berkenaan supaya tidak lagi melakukan kesalahan mengimport barangan dari negara Thailand tanpa Sijil Fitosanitasi yang sah,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 9:51am
d