mutakhir

Polis kena tipu?

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

ANGGOTA polis mendakwa ditipu peniaga telefon bimbit yang dikatakan ‘mengambil’ wangnya ketika berurusan di kompleks di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, pada 21 Jun lalu.

Sumber berkata, mangsa berusia 36 tahun memaklumkan dia pergi ke kompleks berkenaan untuk membeli telefon bimbit pada 6.30 petang.

“Mangsa memaklumkan dia berurusan dengan seorang peniaga di hadapan kedai berkenaan sebelum lelaki terbabit meminta mangsa masuk ke bahagian kios dalam premis terbabit kerana dikatakan bimbang wang anggota polis terbabit ‘dilarikan’.

“Peniaga itu kemudian itu meminta mangsa menyerahkan wang sebanyak RM2,500 untuk urusan pembelian telefon bimbit. Mangsa mendakwa ketika menyerahkan wang berkenaan untuk dikira peniaga terbabit, dia terdengar bunyi wang jatuh di atas lantai lalu menegur lelaki itu, namun tidak diendahkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, selepas selesai mengira, peniaga terbabit memaklumkan wang berkenaan tidak cukup sebanyak RM300.

“Mangsa yang berang dengan peniaga terbabit kemudian memijak kerusi untuk melihat wang yang dikatakan dijatuhkan sebelum muncul seorang lelaki dari dalam kios itu mengaku sebagai pemilik kedai.

“Mangsa mendakwa pemilik kedai itu bersubahat dengan lelaki terbabit dan berperanan sebagai pengambil wang yang jatuh kerana dia berada dalam kios berkenaan,” katanya.

Dalam laporan dibuat mangsa turut memaklumkan pemilik kedai telefon bimbit berkenaan menyatakan seorang pegawai kanan polis di Kuala Lumpur adalah kenalan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visivanathan Abdullah, ketika ditemui, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 1:57pm
d