mutakhir

Zahid didakwa lagi esok, Khamis

Oleh Skuad Khas Harian Metro

BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, serta Khamis ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah mendapat keizinan daripada Pejabat Peguam Negara bagi melakukan pendakwaan berkenaan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan 165 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, Ahmad Zahid yang hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya 10 pagi semalam turut ditahan, sebelum beliau dibebaskan dengan jaminan.

“Kehadiran beliau adalah bagi melengkapkan siasatan akhir berkenaan kes rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

“Ahmad Zahid akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu sebelum dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid akan berdepan pertuduhan kes menerima wang sogokan daripada sebuah syarikat swasta.

Sumber memberitahu Harian Metro bahawa Ahmad Zahid didakwa kerana menyalahkan gunakan kedudukannya untuk menerima wang sogokan bagi kegunaan peribadi daripada syarikat swasta yang diberi hak eksklusif mengendalikan kemasukan pelancong China ke negara ini.

Untuk rekod, penyelewengan membabitkan syarikat terbabit mula didedahkan Harian Metro melalui laporan eksklusif bertajuk ‘Beruk Boleh Mohon’ pada 14 November 2018 yang mana wartawan akhbar ini ke Guangzhou, China bagi melihat operasi dilakukan syarikat terbabit.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 2:09pm
d