mutakhir

Bukan di Genting Highlands lah!

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

DAKWAAN berlakunya kemalangan membabitkan bas di Genting Highlands yang tular di media sosial sejak semalam adalah tidak benar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, pihaknya kesal dengan tindakan individu yang menularkan video kemalangan itu sehingga menimbulkan kerisauan orang ramai.

Katanya, video berkenaan itu sebenarnya berlaku di perkampungan Sitinjau Lauik, Sumatera, Indonesia dan bukan di Genting Highlands seperti yang didakwa.

“Pihak kami telah melakukan siasatan di Genting Highlands ekoran penularan video itu dan disahkan tiada kemalangan berlaku di situ.

“Kami meminta orang ramai untuk tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat tidak sahih kerana dibimbangi akan menimbulkan keresahan kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Kamarulzaman berkata, tindakan berkongsi video itu juga boleh menjejaskan industri pelancongan di Pahang kerana membabitkan lokasi tumpuan pelancong di sini.

Video berdurasi hampir seminit yang tular itu menunjukkan sebuah bas hilang kawalan semasa menuruni bukit sehingga menyebabkan seorang penumpang yang berdiri di pintu tercampak keluar.

Bas itu kemudiannya melanggar tembok penghadang jalan sebelum terperosok ke dalam longkang di bahu jalan.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada 16 Jun lalu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 2:21pm
d