mutakhir

Keputusan ambil alih lebuh raya tak lama lagi

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

KEMENTERIAN Kerja Raya sudah mengemukakan kajian mengenai pengambilalihan beberapa lebuh raya kepada Kabinet minggu lalu.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, pihaknya menyerahkan kepada Jemaah Menteri bagi menentukan keputusan pengambilalihan lebuh raya berkenaan.

“Kita percaya keputusan itu akan diketahui dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya.

Beliau ditemui selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di tapak projek perumahan Presint 12, Putrajaya hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid.

Sebelum ini Baru dilaporkan berkata, kementeriannya melantik perunding bebas bertauliah bagi meneliti dan mengkaji secara holistik hala tuju industri tol negara Januari lalu.

Kriteria utama kajian berkenaan bagi mencari opsyen munasabah dan boleh diterima oleh semua pihak berkepentingan membabitkan kerajaan, syarikat konsesi dan rakyat.

Sebelum ini Kementerian Kewangan mengumumkan akan mengambilalih empat lebuh raya utama, membabitkan nilai RM6.2 bilion sebagai langkah pertama mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan menzahirkan janji Pakatan Harapan (PH).

Empat lebuh raya itu ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion; Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion); Lebuh Raya Shah Alam Sdn Bhd (KESAS) (RM1.377 bilion) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) (RM369 juta).

Struktur akhir caj selepas pengambilalihan itu akan dikaji secara terperinci dan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan pada 1 Januari 2020 sekali gus pengguna empat lebuh raya berkenaan akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 3:01pm
d