mutakhir

Qaisara perlu dibedah segera

Oleh Nor Akmar Samudin

KEGEMBIRAAN menyambut kelahiran cahaya mata pertama tujuh tahun lalu bersulam duka apabila Nur Qaisara Muinuddin disahkan menghidap masalah jantung.

Malah selepas tujuh jam dilahirkan, barulah bapanya Muinuddin Muhamad, 33, dibenarkan menatap wajah bayinya itu.

Hati mana yang tidak pilu apabila tubuh si kecil yang ditempatkan di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Teluk Intan itu dipenuhi wayar.

“Saya dan isteri (Badariah Rahmat, 34) terkejut apabila doktor beritahu Qaisara ada masalah jantung dan memerlukan pembedahan segera.

“Jika tidak dilakukan, ia akan membahayakan nyawa Qaisara kerana kekurangan oksigen ke jantung.

“Selepas dilahirkan Qaisara tidak boleh dibawa balik ke rumah kerana keadaan kesihatannya memerlukan pemantauan rapi. Lebih sebulan Qaisara ditempatkan di NICU,” katanya.

Dalam kebimbangan dan kerunsingan memikirkan keadaan serta kos pembedahan Qaisara, Media Prima-NSTP Humanitarian Fund tampil menghulurkan bantuan untuk membiayai kos pembedahan Qaisara yang dilakukan di Gleneagles Kuala Lumpur.

“Pada hari ke-38 kelahiran Qaisara, dia dibedah. Namun melihatkan keadaannya yang tidak banyak berubah, pada usianya setahun setengah sekali lagi Qaisara dibedah di hospital sama.

“Alhamdulillah, kali ini kami juga mendapat bantuan daripada tabung Media Prima,” katanya yang ditemui di Gleneagles Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Muinuddin, sejak pembedahan pertama sehingga sekarang, Qaisara perlu melakukan pemeriksaan susulan tiga atau empat bulan sekali di Gleanegles Kuala Lumpur.

Doktor memaklumkan Qaisara perlu menjalani pembedahan lagi apabila berat badannya mencapai 18 kilogram.

Bagaimanapun, ketika melakukan pemeriksaan rutin pada Mac lalu, doktor memberitahu Qaisara perlu dibedah segera kerana bekalan oksigen semakin berkurangan ke jantungnya.

Pihak hospital pula tidak boleh menunggu sehingga berat badannya mencecah 18 kilogram manakala beratnya sekarang 15 kilogram.

“Ini mungkin kerana Qaisara sudah bersekolah dan agak aktif di sekolah. Apabila dia melakukan aktiviti seperti bersukan, dia cepat kepenatan dan sukar bernafas. Sebelah malam dia berasa lenguh kaki.

“Qaisara memahami keadaan dirinya dan apabila penat dia berhenti rehat. Saya kasihan melihatnya yang hanya merenung kawan-kawannya bermain,” katanya.

Mujurlah isterinya yang juga guru mengajar di sekolah sama tempat anaknya belajar iaitu Sekolah Kebangsaan Rungkup Bagan Datuk.

“Dapatlah Badariah memantau Qaisara. Guru dan rakan sekolah pun faham keadaan Qaisara. Mereka akan membantunya jika dia sesak nafas,” katanya.

Pembedahan ketiga akan dilakukan segera dengan kos sebanyak RM80,000.

Muinuddin berharap, pembedahan ini yang terakhir dan Qaisara akan dapat menjalani kehidupan normal seperti rakan sebaya yang lain.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi Media Prima-NSTP Humanitarian Fund melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek dialamatkan ke Media Prima Bhd, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 3:22pm
d