mutakhir

Pilunya hati ibu

Oleh Ibrahim Isa

KEGEMBIRAAN seorang ibu yang pulang ke rumah untuk bertemu bayi lelakinya berusia lebih sebulan bertukar hiba apabila mendapati anak tunggalnya itu meninggal dunia, pagi semalam.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, wanita berusia 33 tahun yang juga pemandu pelancong syarikat swasta terbabit terkejut mendapati bayinya dalam keadaan tertiarap di toto (lapik tidur) dengan bibir kebiru-biruan di dalam bilik di rumahnya di Taman Nusa Bayu, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian, wanita itu beberapa kali cuba mengejutkan bayinya, namun tiada tindak balas.

Katanya, wanita berkenaan mengejutkan suaminya yang tidur di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu dan memberitahu anak lelaki mereka tidak sedarkan diri, walaupun selepas berulang kali dikejutkan.

“Mereka kemudiannya membawa anak tunggal mereka ke Klinik Kesihatan Gelang Patah untuk pemeriksaan lanjut.

“Pegawai Perubatan bertugas melakukan pemeriksaan dan mendapati bayi berkenaan sudah meninggal dunia, namun siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat ke atas bayi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, bayi berkenaan tiada sebarang penyakit, tidak mendapatkan apa-apa rawatan khas sebelum ini dan dalam keadaan sihat.

Katanya, siasatan mendapati bayi berkenaan meninggal dunia akibat kematian mengejut, namun kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001.

“Bapa mangsa yang juga pemandu van ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 7:10pm
d