mutakhir

'Pandai buat onar di negara orang'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG lelaki warga Bangladesh yang juga dalang sindiket pemalsuan pasport dan permit kerja ditahan dalam serbuan Operasi Serkap (Op Serkap) di sebuah kondominium di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, hasil risikan dilakukan sejak sebulan lalu, pihaknya menyerbu lokasi terbabit yang dijadikan markas memproses dan memalsukan pasport, permit kerja serta i-kad dikeluarkan JIM, 10 malam tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif melakukan kegiatan berkenaan di sekitar Lembah Klang terutama kawasan Bukit Bintang dan Plaza Kotaraya sejak dua tahun lalu.

“Sasaran utama sindiket ini adalah warga asing yang majoriti terdiri daripada warga Bangladesh mempunyai masalah permohonan atau lanjutan permit kerja terutama daripada sektor pembinaan, perkhidmatan serta perkilangan.

“Sindiket terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan mengeluarkan pasport antarabangsa, pas atau permit Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), i-kad dan kad hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) palsu dengan kadar bayaran antara RM110 hingga RM800 bagi setiap dokumen.

“Warga asing yang memiliki pas atau permit PLKS ini beranggapan mereka akan terlepas jika diperiksa dalam operasi dijalankan agensi penguat kuasa sekiranya memiliki dokumen palsu berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai mengaut keuntungan RM15,000 setiap bulan dengan purata tempahan ditawarkan secara pakej.

Menurutnya, hasil soal siasat dilakukan, pihaknya memburu dua lagi suspek warga Bangladesh yang dipercayai terbabit dengan kegiatan sindiket berkenaan bagi membantu siasatan.

“Antara barang dirampas adalah dua komputer mengandungi maklumat dokumen dan pelekat keselamatan JIM, tiga mesin pencetak, 40 cetakan muka surat pasport negara Bangladesh, empat setakan PLKS, 157 cetakan pasport negara Bangladesh dan India serta cakera keras luaran (hard disk) yang digunakan sindiket terbabit.

“Suspek ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002), Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 12(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan itu dilakukan secara berterusan untuk mengesan, menahan, mendakwa dan mengusir warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Menurutnya, JIM sentiasa prihatin dengan aduan dan maklumat diberikan orang awam dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang tinggal secara haram, menyalahgunakan pas dan melakukan aktiviti tidak bermoral di negara ini.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengupah atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 7:26pm
d