mutakhir

Kantoi 'goyang kepala' di bilik hotel

Oleh Hadzlihady Hassan

TAK padan bawah umur, nak juga layan kepala. Itu yang berlaku terhadap sekumpulan remaja perempuan apabila mereka ditahan ketika berpesta dadah di dalam sebuah bilik hotel di Taman Chai Leng, Prai, malam tadi.

Dalam serbuan jam 10 malam itu, semua suspek terdiri daripada enam lelaki dan empat remaja perempuan berusia 15 hingga 31 tahun menjadikan sebuah bilik di tingkat lapan hotel terbabit untuk pesta ‘goyang kepala’.

Tiga daripada remaja perempuan terbabit berusia 15 tahun, namun mereka didapati sudah tidak bersekolah manakala seorang lagi berusia 17 tahun yang juga pelajar tingkatan lima.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui serbuk putih disyaki ketamin seberat kira-kira 0.4 gram (g) di atas lantai.

“Tiga daripada suspek lelaki yang ditahan bekerja sebagai peniaga manakala seorang daripada mereka bekerja sebagai kelindan lori manakala selebihnya penganggur.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati lapan daripada mereka positif dadah, manakala dua lagi negatif,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata, polis turut menyerbu sebuah rumah di Taman Bukit Minyak, Bukit Mertajam pada 5 petang kelmarin dan menahan sembilan individu termasuk dua wanita dipercayai sedang berpesta dadah.

“Pemeriksaan terhadap mereka yang berusia antara 23 hingga 40 tahun itu mendapati semuanya positif syabu.

“Dalam serbuan itu, polis merampas satu paket lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 6.58g, sebiji pil ekstasi (0.69g), botol kaca yang diubah suai untuk menghisap dadah dan pemetik api,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1)(a), Seksyen 12(3)(a) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 9:03pm
d