mutakhir

Ditahan lepas tembakan ke udara [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

EMPAT lelaki ahli kumpulan kongsi gelap Double Seven (77) serta seorang wanita diberkas polis selepas terbabit dengan insiden melepaskan tembakan ke udara, pada 19 Jun lalu.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, empat suspek berusia 23 hingga 34 tahun itu berada di restoran di Alam Megah, Shah Alam, bersama tiga individu dipercayai rakannya untuk minum.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, selepas itu berlaku perselisihan faham di antara mereka dan salah seorang suspek mengambil sepucuk pistol dari dalam keretanya sebelum melepaskan satu das tembakan ke udara.

Menurutnya, berikutan itu sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melancarkan operasi memburu suspek berkenaan.

“Pada 6.30 petang 20 Jun lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Putra Heights, Subang Jaya dan menahan suspek utama bersama isterinya.

“Pemeriksaan di dalam rumah menemui 22 butir peluru berukuran 9 milimiter (mm) dan pistol jenis CZ Compact serta dua peluru hidup ditemui di dalam kereta suspek utama,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu polis menyerbu dua kediaman di sekitar Putra Heights serta Alam Megah dan menahan tiga lagi lelaki dipercayai rakan kepada suspek yang berada di lokasi kejadian tembakan berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati ketika kejadian, suspek di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkannya melepaskan tembakan.

“Suspek tiada lesen senjata api dan mendakwa membelinya menerusi pasaran gelap dari negara jiran.

“Semua suspek direman sehingga 27 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 9:44pm
d