mutakhir

Ajal rempuh anjing

Oleh Nor Farhani Che Ad

WANITA maut selepas motosikal ditunggang melanggar anjing sebelum terbabas di Jalan Kulim-Mahang, di Kulim, semalam.

Dalam kejadian 9.34 malam, mangsa berusia 41 tahun dari Taman Sepilai, Karangan dikatakan terjatuh dan terbaring di atas jalan selepas kenderaannya terbabas sebelum mangsa dilanggar sebuah motosikal lain dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, wanita yang menunggang motosikal Demak Evo Z dari arah Mahang menghala ke Kulim.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa terbabas kerana melanggar anjing lalu terjatuh dan terbaring di atas jalan.

“Akibat jarak terlalu dekat, seorang penunggang motosikal Honda FS150FJ

yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusuf berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke unit forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 9:04am
d