mutakhir

Besar pahalamu dik...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

GADIS terpaksa mengetepikan soal kerja apabila menjaga bapanya yang menghidap angin ahmar sejak awal bulan ini.

Nurfatin Munirah Haron, 20, yang bekerja di sebuah kilang di sini kerap mengambil cuti untuk membawa bapanya, Haron Mat, 56, berulang alik ke Hospital Jitra (HJ) untuk mendapatkan rawatan penyakitnya itu.

Katanya, dengan pendapatan harian RM50 itulah digunakan untuk menyara mereka sekeluarga sejak ibu bapanya pula berpisah beberapa tahun lalu.

Anak sulung dari empat beradik itu berkata, penyakit bapanya itu tiba-tiba menyerang pada hari raya kedua lalu menyebabkan tidak boleh bertutur, tangan dan kaki kanannya juga lumpuh.

“Kehidupan saya dan tiga adik berusia 15 hingga 19 tahun termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) kini terumbang-ambing disebabkan ayah yang menjadi tempat kami bergantung tidak dapat lagi menyara kami.

“Sebelum ini, ayah bekerja dengan mengambil upah mencuci kereta bagi menyara kehidupan kami sekeluarga tapi sekarang sejak sakit, dia hanya terlantar di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Imam, Jitra, semalam.

Nurfatin Munirah berkata, dia kini mempunyai tanggungjawab berat untuk menguruskan bapanya termasuk membawanya ke HJ untuk menjalani rawatan fisioterapi.

Katanya, bapanya kini hanya mampu minum susu dan memakai lampin pakai buang yang menelan kos kira-kira RM700 sebulan.

“Saya kena kuatkan semangat semata-mata melihat kehidupan kami teratur untuk memastikan pelajaran adik-adik tidak terjejas.

“Kami hanya bergantung kepada bantuan bulanan yang diterima ayah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain bantuan jiran dan saudara-mara terdekat,” katanya.

Katanya, dia berharap ada pihak dapat memberi sumbangan bagi membantunya untuk menyara keluarga serta menjaga bapanya yang sedang sakit.

Sementara itu, penderitaan Haron turut mendapat perhatian pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal yang berkunjung ke rumah mereka.

Zuraini kemudian menyampaikan sumbangan kerusi roda dan barangan keperluan makanan seperti susu khas dan lampin pakai buang untuk Haron.

“Saya menyeru bantulah keluarga ini kerana mereka sudah hilang tempat bergantung dan tiga adik Nurfatin masih bersekolah,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) Nurfatin Haron di 0200241000173689 atau menghubunginya di talian 018-3754369.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 9:09am
d