mutakhir

Kantoi cuba seludup syabu dari India

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan dua cubaan menyeludup dadah kira-kira 14.34 kilogram (kg) dengan anggaran bernilai RM717,000 pada 19 dan 20 Jun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, kes pertama, jam 7.55 pagi membabitkan pemeriksaan sepasukan Pegawai Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang terhadap seorang lelaki warga India berusia 30 tahun tiba dari Hyderabad, India.

“Hasil imbasan terhadap kotak berisi satu unit pengisar yang dibawa penumpang mendapati terdapat satu imej mencurigakan di bahagian bawah kotak itu.

“Pemeriksaan mendapati terdapat satu ruang khas yang diubah suai di bahagian bawah kotak dan di dalam ruangan berkenaan terdapat satu bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk putih disyaki methamphetamine seberat 6.6 kilogram (kg).

“Bahan dadah itu dianggarkan bernilai RM330,000,” katanya pada sidang media di Sepang, hari ini.

Beliau berkata, kes kedua membabitkan pemeriksaan sepasukan Pegawai Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang terhadap seorang lelaki warga India berusia 30 tahun yang tiba dari Bengaluru, India.

“Hasil imbasan dan pemeriksaan ke atas dua kotak dibawa lelaki itu, pasukan menemui 15 bungkusan mengandungi serbuk putih disorok di dalam tiga unit kotak simpanan yang diubah suai.

“Ujian awal mendapati, serbuk putih itu yang berat kasarnya 7.74 kg disyaki methamphetamine dianggarkan bernilai RM387,000,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkurnain berkata, bagi kedua-dua kes ini, sindiket menggunakan modus operandi hampir sama iaitu menyembunyikan bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah berbahaya di dalam ruangan khas bekas yang diubah suai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan bersalah, kedua-dua suspek boleh dihukum gantung sampai mati.

Katanya, kedua-dua suspek sudah direman di Mahkamah Majistret Sepang selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan akan didakwa di dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 12:27pm
d